Khamis, 10 Mac 2016

Istiadat Perbarisan Kehormatan Sempena Hari Puja Usia

Bandar Seri Begawan. Sabtu, 15 Ogos 2015 - Bersempena dengan Hari Puja Usia Yang Keenam Puluh Sembilan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Istiadat Barisan Kehormatan telah diadakan pada hari ini.

Sepertimana lazimnya, pasukan pertubuhan beruniform akan turut serta di dalam istiadat tersebut termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Kadet Bomba dan Penyelamat Negara Brunei Darussalam (KBPB) yang diletakkan di bawah Pasukan Pertubuhan Awam.

Maka pada tahun ini sekali lagi Ketua Perbarisan bagi pasukan KBPB ialah PFCO Norimy bin Haji Ahad dan Penolong Ketua Perbarisan KBPB ialah Guru Pengawas Kadet Haryati binti Panjang (SM Sayyidina Hasan, Jalan Ban 5). Manakala Pelapis bagi keduanya ialah Kadet Bomba Terlatih Md Zulfitri dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB). Seramai 33 ahli KBPB terdiri dari Pasukan Kadet Bomba KUPU SB menyertai istiadat berkenaan.


Menadah tangan dan memohon doa ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala sebelum memasuk Taman agar dipermudahkan perbarisan serta berjalan dengan lancar

Istiadat dimulakan pada kira-kira jam 7:15 pagi dengan perbarisan masuk pasukan-pasukan yang mengambil bahagian. Seterusnya diikuti dengan Perarakan Masuk Panji-Panji Batalion Pertama Tentera Darat Diraja Brunei (1BN TDDB), Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) dan Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB).


HERNIE_07


Pasukan KBP di dalam keadaan senang diri bagi menantikan keberangkatan kerabat-kerabat diraja. 
(Sumber gambar: Hernie@infofoto)

HERNIE_19
Pasukan KBP di dalam keadaan sedia bagi Hormat Diraja di atas keberangkatan tiba kerabat-kerabat diraja. 
(Sumber gambar: Hernie@infofoto)

Sedutan dari Berita Nasional Jam 8 Malam



Istiadat diteruskan dengan keberangkatan kerabat-kerabat diraja dan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang diikuti dengan Hormat Diraja dan tembakan 21 das meriam. Baginda seterusnya dijunjung bagi memeriksa barisan kawalan kehormatan dan pertubuhan beruniform.

KDYMM menerima tabik kehormat sejurus keberangkatan tiba baginda di Pentas Diraja.
(Sumber Gambar: Arif@Infofoto)

HERNIE_20
Kenderaan khas KDYMM ketika melintas di hadapan pasukan KBPB dan seterusnya membalas tabik ketua pasukan.
(Sumber gambar: Hernie@infofoto)

Seterusnya ialah perbarisan lalu dalam perlahan dan cepat jalan oleh pasukan barisan kawalan kehormatan. Setelah selesai, kesemua pasukan melaungkan "Daulat" sebanyak 3 kali ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Istiadat diakhiri dengan Hormat Diraja dan serentak dengan penerbangan lalu oleh pesawat-pesawat TUDB.

Istiadat ini lazimnya diadakan pada setiap 15 Julai namun disebabkan tarikh berkenaan jatuh dalam bulan Ramadhan maka seperti tahun lepas istiadat berkenaan diganjakkan ke bulan berikutnya. Ianya menandakan bermulanya acara-acara keraiean sempena Hari Puja Usia KDYMM.

Majlis-majlis lain yang akan disertai oleh pasukan KBPB ialah Majlis Persantapan bagi pasukan beruniform yang akan diadakan pada Hari Isnin Malam Selasa 17 Ogos 2015 di Dewan Persantapan, Istana Nurul Iman.