Selasa, 8 Mac 2016

Hayati MIB hadapi cabaran globalisasi

  • Oleh:  Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali

PEGAWAI  Tugas-Tugas Khas Kanan selaku Setiausaha/Ketua Urusetia Majlis Tertinggi MIB, Dr. Awang Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong semasa berucap merasmikan Perkampungan Melayu Islam Beraja bagi Pasukan Beruniform Sekolah-Sekolah Menengah dan Maktab Senegara kali Pertama.
PEGAWAI Tugas-Tugas Khas Kanan selaku Setiausaha/Ketua Urusetia Majlis Tertinggi MIB, Dr. Awang Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong semasa berucap merasmikan Perkampungan Melayu Islam Beraja bagi Pasukan Beruniform Sekolah-Sekolah Menengah dan Maktab Senegara kali Pertama.
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 27 Mac. - Golongan remaja dan muda belia masa kini merupakan aset negara yang bakal menerajui kepimpinan dan pewaris bangsa Brunei pada masa akan datang, maka konsep Melayu Islam Beraja (MIB) perlu diamalkan dan dihayati sebagai persediaan dan menghadapi cabaran era globalisasi masa kini.
Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan, selaku Setiausaha / Ketua Urusetia Majlis Tertinggi MIB (MTMIB), Dr. Awang Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong berasa yakin dan percaya bahawa pengamalan dan pengukuhan nilai-nilai MIB dalam kehidupan seharian adalah amat penting dalam membantu membanteras penyakit-penyakit sosial dalam kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat.
"Ini adalah kerana dalam konsep MIB terdapatnya nilai-nilai yang positif untuk menjadi tembok atau perisai kita bagi membentuk dan menyemai identiti kebruneian dalam kalangan generasi muda sebagaimana kata pepatah Melayu, ‘Melentur buluh biar dari rebungnya’," ujarnya semasa melancarkan Perkampungan MIB  bagi Pasukan-Pasukan Beruniform Sekolah-Sekolah Menengah dan Maktab Senegara Kali Pertama Tahun 2015, berlangsung di Sekolah Sukan, di sini.
Selaras dengan tugas dan kewajiban MTMIB dalam menyebar luas dan mengukuhkan lagi nilai-nilai MIB dalam kalangan generasi muda khususnya kepada golongan dari pasukan beruniform sekolah-sekolah menengah dan maktab-maktab senegara, beliau berharap semoga perkampungan ini akan mencapai matlamat dan sasaran dalam pembentukan anak watan yang berjiwa dan beridentiti kebruneian.




AMIRUL03 270315

AMIRUL02 270315
ANTARA Penuntut-penuntut yang ikut serta dalam Perkampungan Melayu Islam Beraja bagi Pasukan Beruniform Sekolah-Sekolah Menengah dan Maktab Senegara kali Pertama.
“Kita berdoa semoga perkampungan ini akan memberi manfaat dan ilmu yang amat berguna kepada peserta perkampungan yang akan berlangsung lebih kurang empat hari ini,” ujarnya.
Awang Haji Muhammad Hadi seterusnya mengharapkan agar para peserta perkampungan akan mengambil peluang ini dengan menyertai keseluruhan aktiviti dan kegiatan yang akan diungkayahkan terutama dalam mengukuhkan lagi kefahaman dan penghayatan mengenai MIB, di samping dapat mempraktikkan nilai-nilai MIB dalam kehidupan seharian untuk kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Terdahulu beliau menjelaskan, Perkampungan MIB yang akan berlangsung lebih kurang empat hari ini dikelolakan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPK), Kementerian Pendidikan dan dianjurkan oleh MTMIB buat julung kalinya.
"Perkampungan ini adalah merupakan satu usaha berterusan MTMIB dalam menjunjung dan menanai titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk mengekalkan dan mengukuhkan lagi kedudukan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara MIB yang merdeka dan berdaulat sebagaimana yang dimanifestasikan dalam Wawasan Negara 2035,” ujarnya terdahulu.
Program perkampungan pagi itu juga diteruskan dengan acara suai kenal dan lawatan ke penginapan perkampungan.
Sebelah tengah hari (hari pertama), pelajar-pelajar beruniform bergerak ke masjid Kampung Pulaie bagi mengerjakan Sembahyang Fardu Jumaat.
Acara pada sebelah petang diteruskan dengan taklimat perkampungan daripada kem komandan dan bengkel asas pertolongan cemas yang disampaikan oleh Pasukan Bulan Sabit Merah, manakala pada sebelah malam akan diadakan ceramah motivasi bertajuk 'Belia Hari Ini Pendukung Konsep MIB' yang disampaikan oleh Ketua Kaunseling dan Bimbingan Kerjaya, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Awang Haji Ali Yusri bin Haji Abd. Ghafar.
Kira-kira seramai 500 ahli pasukan beruniform yang terdiri daripada pasukan Kadet Tentera, pasukan Kadet Polis Diraja Brunei, pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat, pasukan Pengakap, pasukan Bulan Sabit Merah dan pasukan Pandu Puteri menyertai Perkampungan Kokurikulum MIB ini.
Perkampungan tersebut akan diisikan dengan pelbagai aktiviti seperti sembahyang berjemaah lima waktu, kuliah subuh, ceramah agama, membaca tahlil dan doa arwah, pembacaan Al-Qur’an dengan panduan waqaf dan ibtida' berserta hukum tajwid', ceramah / bengkel, perlawanan merintis berpasukan dan lain-lain.
Program bertujuan untuk mempelbagaikan kaedah pemahaman dan pengukuhan konsep MIB kepada belia, terutama sekali pada peringkat sekolah, di samping menerapkan nilai-nilai MIB dalam kehidupan dan jiwa pelajar khususnya kepada ahli-ahli pasukan beruniform.
Ia juga bertujuan untuk menjadikan ahli pasukan beruniform sebagai ‘ejen’ bagi mempengaruhi pelajar lain dan rakan sebaya mereka ke arah memahami konsep MIB.
Aktiviti seumpamanya menghimpunkan ahli-ahli pasukan beruniform yang terdiri daripada pelajar-pelajar maktab, sekolah menengah serta pendidikan swasta dalam satu perkampungan, selain mempergiat usaha mengembangkan kefahaman konsep MIB, menanam bakat kepimpinan dan memupuk kemahiran berani beraksi di depan orang ramai.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dari JPK, guru-guru pengawas dan pelajar-pelajar.
- Pelita Brunei Online.