Gambar oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat
Ahli kadet menunjukkan kemahiran mereka.
 Awang Roslan melawat dan beramah mesra dengan guru-guru dan ahli kadet di 
perkhemahan berkenaan.
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Dis - Sebagai usaha untuk melihat dengan lebih dekat 
kegiatan dan latihan yang dijalankan semasa Perkhemahan Tahunan Pasukan Kadet 
Bomba dan Penyelamat Sekolah-Sekolah Menengah Senegara,Timbalan Setiausaha Tetap 
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Roslan bin Haji Taja'ah telah 
mengadakan lawatan ke perkhemahan berkenaan yang berlangsung di Taman Hutan 
Simpanan Berakas pada 3 Disember lalu, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh 
Jabatan Bomba dan Penyelamat, hari ini.
Menurut kenyataan berkenaan lagi, semasa lawatan itu, Awang Roslan diiringi 
oleh Pengarah Bomba dan Penyelamat, Awang Yahya bin Haji Abdul Rahman serta 
pegawai-pegawai kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Kokurikulum.
Awang Roslan telah membuat lawatan ke khemah-khemah peserta kadet dan beramah 
mesra dengan guru-guru pengawas serta peserta kadet. Beliau juga melawat 
kemudahan kecemasan first aider bagi persediaan jika terjadi sebarang kecemasan 
atau kecederaan serta berkesempatan menyaksikan satu demonstrasi rawatan 
kecemasan yang dipertunjukkan oleh anggota pasukan first aider Jabatan Bomba dan 
Penyelamat berserta kadet.
Sebelum meninggalkan perkhemahan berkenaan, Awang Roslan juga menyaksikan 
para peserta kadet Bomba melakukan satu demonstrasi memadam kebakaran seperti 
yang telah mereka pelajari.
- Media Permata. Khamis, 6 Disember 2012. 

