Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat
Pengarah Bomba dan Penyelamat Awang Yahya menyempurnakan penyampaikan hadiah 
kepada salah seorang peserta Perkhemahan Tahunan Pasukan Kadet Bomba dan 
Penyelamat Senegara.
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Dis - Seramai 25 orang kadet Bomba dan Penyelamat dari 
enam buah sekolah menengah seluruh negara telah menyertai Perkhemahan Tahunan 
Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat Senegara yang diadakan bermula 30 November 
lalu dan berakhir kelmarin di Taman Hutan Simpanan Berakas.
Perkhemahan yang juga menyaksikan penyertaan lapan guru pengawas itu 
merupakan salah satu kegiatan bahagian beruniform dan Perkhidmatan 
Kemasyarakatan, Kementerian Pendidikan yang dikendalikan bersama Jabatan Bomba 
dan Penyelamat.
Hadir pada majlis penutup perkhemahan selaku jemputan khas ialah Pengarah 
Bomba dan Penyelamat Awang Yahya bin Haji Abdul Rahman dan Pemangku Pengarah 
Pendidikan Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Pengiran Suhaimi bin 
Pengiran Haji Bakar.
Pada majlis penutup para hadirin menyaksikan pertandingan Skill Competition 
peringkat akhir yang melibatkan tiga buah pasukan dari peserta kadet sekolah 
menengah.
Pada majlis itu Kem Komandan Haji Muhamad Khairul Azizul bin Haji Abdul Zaini 
dan wakil daripada peserta perkhemahan Siti Khadijah binti Haji Mohammad dari 
Sekolah Menengah Rimba telah memberikan ucapan.
Penyampaian hadiah kepada peserta-peserta Skill Competition telah 
disempurnakan oleh Awang Yahya, sementara penyampaian sijil kepada 
peserta-peserta perkhemahan telah disempurnakan oleh Pengiran Suhaimi.
Sepanjang perkhemahan para peserta telah didedahkan dengan beberapa aktiviti 
yang meliputi aspek-aspek kerohanian akhlak, fizikal kemasyarakatan dan 
amal.
Aktiviti yang dirancang adalah berasaskan kepada pembelajaran, kemahiran 
kendiri serta pelbagai aktiviti yang dapat menggalakkan perkembangan kognitif, 
kreativiti dan bakat pelajar serta memupuk perpaduan dan kesedaran di antara 
peserta-peserta perkhemahan melalui kegiatan berkumpulan.
Peserta perkhemahan jua mengikuti kuliah subuh yang disampaikan oleh Penolong 
Pensyarah di Fakulti Usuluddin Awang Azman bin Haji Kassim dan taklimat motivasi 
yang disampaikan oleh seorang ahli perniagaan dan Naib Presiden Majlis 
Perniagaan Wanita iaitu Dayang Norhayati binti Abu Bakar.
Majlis penutup perkhemahan diakhiri dengan sesi bergambar ramai. Doa selamat 
telah dibacakan oleh Guru Ugama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Awang Mohd Rosman 
bin Haji Bara.
- Media Permata. Rabu, 5 Disember 2012.

