Rabu, 7 Ogos 2013

12 kadet bomba KUPU SB terima sijil


Oleh Ak Fairol RMF & Syah D


Sesi bergambar ramai bersama peserta yang telah menamatkan kursus.
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan - Seramai 12 orang Ahli Kadet Bomba dan Penyelamat KUPU SB semalam telah menerima sijil setelah berjaya menamatkan tiga modul Kursus Asas Kadet Bomba dan Penyelamat.

Pada asalnya seramai 37 orang pengambilan kadet dari kalangan Mahasiswa dan Mahasiswi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) tetapi cuma 12 sahaja, enam lelaki dan enam perempuan, yang berjaya menamatkan ketiga-tiga modul yang ditawarkan oleh Pusat Latihan Jabatan Bomba dan Penyelamat, iaitu Kawad Kaki, Teori Kebombaan dan Kawad Kebombaan.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil-sijil ialah Pemangku Komandan, Pusat Latihan Jabatan Bomba dan Penyelamat ASFR Haji Nordin bin Haji Buntan, dan turut hadir ialah Pengarah Pusat Ilmu Teras, KUPU SB Prof Madya Dr Ghazali bin Basri, Awang Haji Roslan bin Haji Untung selaku penyelaras Ko-Kurikulum KUPU SB dan beberapa pegawai-pegawai dari KUPU SB.

Salah seorang peserta kursus Pengiran Khairul Norlizam bin Pengiran Rosli menyatakan perasaan gembira kerana berjaya menamatkan kursus yang bermakna ini.

Beliau yang merupakan pelajar latihan dalam perkhidmatan yang belajar di KUPU SB juga menyatakan akan kepentingan kursus ini sebagai seorang pendidik di sekolah dan beliau berharap akan ada kesempatan di masa mendatang untuk mendalami lagi akan keperluan-keperluan kebombaan demi untuk memastikan keselamatan pelajar di sekolah nanti.

Wakil peserta kursus Awang Muhammad Arif bin Abd Hadi pula berkata meskipun Kemahiran yang telah diajarkan hanya berupa sebahagian asas kebombaan namun ia sangat bernilai kepada peserta sebagai sebahagian daripada masyarakat dengan berbekalkan kemahiran yang ada, sementara latihan-latihan yang telah didedahkan sepanjang kursus ini, memang telah mencuba keupayaan fizikal, mental dan emosi peserta kursus untuk menjadi seorang yang cekal, cergas dan sabar dalam apa jua situasi.

Majlis diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Awang Haji Mohammad Jaya bin Hj Metussin.
-        
       - Media Permata - Isnin, 16 Januari 2012