MENTERI Hal Ehwal 
Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia
 (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong ketika berucap pada Upacara 
Perbarisan Kawalan Kehormatan pada Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan 
Bomba dan Penyelamat (JBP) yang ke-56 Tahun.
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 9 April. –
 Keperluan perkhidmatan bomba adalah semakin meningkat yang mana pada 
tahun 2015, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah menangani sebanyak 
5066 kes kecemasan, 116 daripadanya adalah kebakaran bangunan dan rumah 
yang mengakibatkan kerugian harta benda bernilai kira-kira BND11.5 juta.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang 
Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang 
Abu Bakar bin Haji Apong menegaskan, kes kecemasan ini amat 
membimbangkan kerana ia menunjukkan trend yang meningkat dari 
setahun ke setahun di mana kes kecemasan tahun 2015 menggambarkan dengan
 jelasnya kenaikan sebanyak 15.42 peratus dari tahun 2014 dan 56.16 
peratus dari tahun 2013.
"Meningkatknya kes panggilan kecemasan 
ini menunjukkan kesedaran orang awam dalam menghadapi bentuk kecemasan,"
 jelas Yang Berhormat Pehin semasa berucap pada Upacara Perbarisan 
Kawalan Kehormatan Sempena Sambutan Ulang Tahun Jabatan Bomba dan 
Penyelamat (JBP) Ke-56 Tahun yang berlangsung di Padang Kawad, Ibu 
Pejabat Bomba dan Penyelamat, Lapangan Terbang Lama, Berakas, di sini.
Akan tetapi jelasnya, di satu segi yang 
lain ia juga menunjukkan meningkatnya kejadian-kejadian kecemasan yang 
perlu diawasi, khasnya kejadian kebakaran di mana orang ramai boleh 
memainkan peranan besar dalam usaha pencegahan kebakaran.
Sehubungan ini, katanya, dalam usaha 
untuk menangani kejadian kebakaran dan mencegah kebakaran, Kebawah Duli 
Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara 
Brunei Darussalam telah memperkenankan Perintah Keselamatan Kebakaran 
2016 (Fire Safety Order 2016) yang telahpun diwartakan.
Menurut Yang Berhormat Pehin, perintah 
ini menyediakan peruntukan berhubung dengan keselamatan kebakaran dan 
perkara-perkara yang berkaitan dengannya atau yang bersampingan 
dengannya.
"Perintah ini bertujuan bagi mengawal 
dari beberapa sudut keselamatan kebakaran untuk orang ramai dan 
bangunan-bangunan serta premis perniagaan," ujarnya.
Penguatkuasaan Keselamatan Kebakaran 
bagi peniaga-peniaga/pengurus-pengurus kedai jelasnya, akan lebih 
terjamin dengan adanya Perintah Keselamatan Kebakaran 2016 itu dengan 
memastikan segala peralatan pemadaman kebakaran dalam sesebuah premis 
perniagaan atau rumah tempat tinggal tersedia dan dalam keadaan selamat.
Yang Berhormat Pehin menekankan adalah 
amat mustahak bagi orang ramai mematuhi peraturan-peraturan yang 
berkuatkuasa sedikit masa lagi.
Dalam masa yang sama tambahnya, adalah 
juga mustahak untuk memastikan tidak berlakunya penyalahgunaan 
rumah-rumah persendirian untuk dijadikan tempat tinggal pekerja asing 
ataupun dijadikan tempat premis perniagaan tanpa kebenaran dari 
agensi-agensi yang berkuasa.
Yang Bergormat Pehin juga melahirkan 
rasa syukur kerana sejak 56 tahun lepas dan sehingga ke hari ini, JBP 
telah dapat menjalankan tugasnya dengan penuh komited selaras dengan 
misi jabatan ini iaitu 'Mengurangkan Kadar Kejadian Akibat Kebakaran dan
 Bertindak Dengan Cara Professional Bagi Menangani Apa-apa Jua Jenis 
Panggilan Kecemasan'.
Mengenai program-program awam dalam 
usaha untuk memberikan kefahaman dan kesedaran kepada orang ramai 
mengenai kebakaran dan keselamatan, Yang Berhormat Pehin difahamkan 
bahawa JBP sedang giat mengendalikan program-program awam seperti 
memperluaskan kempen kesedaran awam dalam keselamatan kebakaran, 
mengadakan latihan pengosongan bangunan dan latihan kebakaran di premis 
awam, mengadakan program 'Fire Marshal' dan seminar dalam pengurusan 
keselamatan kebakaran.
"Saya berasa gembira mengetahui bahawa 
program-program ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan 
setentunya ianya akan mendatangkan hasil dalam mencapai matlamat bagi 
mengurangkan kadar kebakaran di negara ini," katanya.
Yang Berhormat Pehin berharap 
program-program tersebut dapat dipergiatkan lagi dan meliputi segenap 
lapisan masyarakat di negara ini, sejajar dengan visi jabatan iaitu 
'Bekerjasama Dengan Masyarakat Bagi Melindungi Apa Yang Mereka Hargai'.
Dalam hubungan itu ujar Yang Berhormat 
Pehin, kita menghargai peranan orang ramai yang secara proaktifnya 
membantu JBP sebagai 'First Responder' kerana membantu memadamkan api 
sebelum ianya merebak dan sebelum kehadiran anggota JBP di tempat 
kejadian.
Yang Berhormat Pehin menjelaskan ia 
membuktikan orang ramai telah mempunyai pengetahuan dan pengalaman 
mengenai cara-cara memadamkan api iaitu hasil daripada program-program 
yang telahpun dilaksanakan.
"Ini juga mencerminkan sikap prihatin 
dan kesedaran orang ramai bahawa keselamatan kebakaran adalah menjadi 
tanggungjawab bersama seluruh masyarakat."
Kolaborasi dengan agensi-agensi lain 
tambah Yang Berhormat Pehin, adalah setinggi-tinggi penghargaan kepada 
semua agensi-agensi yang memberikan kerjasama padu kepada JBP dalam 
operasi memadam kebakaran dan penyelamatan.
Yang Berhormat Pehin percaya, melalui 
gabungan tenaga dengan matlamat misi yang sama, sesuatu insiden akan 
dapat ditangani dengan lebih mudah dan menggunakan sumber yang lebih 
optima.
- Pelita Brunei Online. Ahad, 10 April 2016.