BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 9 April. –
 Perintah Keselamatan Kebakaran 2016 (Fire Safety Order 2016) yang telah
 diwartakan adalah merupakan usaha Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri 
(KHEDN) bagi menangani kejadian dan mencegah kebakaran.
Dalam temubual bersama PELITA BRUNEI, 
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri 
Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong berkata 
perintah tersebut telah menyediakan peruntukan berhubung keselamatan 
kebakaran dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya atau yang 
bersampingan dengannya.
Yang Berhomat Pehin ditemui semasa 
Upacara Perbarisan Kawalan Kehormatan Sempena Sambutan Ulang Tahun 
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Ke-56 Tahun di Ibu Pejabat Bomba dan 
Penyelamat, Lapangan Terbang Lama, Berakas, pagi tadi.
"Mengenai perkara ini, Kebawah Duli Yang
 Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei
 Darussalam telah memperkenankan perintah tersebut yang akan memberi 
kuasa kepada JBP di dalam usaha mereka menangani kejadian-kejadian 
kebakaran dan kecemasan," jelansya.
Sebagai contoh ujarnya, keperluan untuk 
mengadakan 'Fire Marshal' di agensi-agensi, kementerian-kementerian atau
 di premis-premis perniagaan mengadakan 'Fire Drill', latihan-latihan 
mengosongkan bangunan dan yang paling penting sekali walaupun 
bangunan-bangunan ini dilengkapkan dengan peralatan kebakaran, apa yang 
didapati dari lawatan pemeriksaan JBP, ada bangunan-bangunan tertentu 
mempunyai tempat-tempat keselamatan kebakaran yang ditutup ruangnya 
dengan menempatkan barang-barangan perkakas yang sepatutnya dan 
sewajarnya tempat itu haruslah dilapangkan.
"Perkara seperti ini kemungkinan pada 
anggapan sesetengah orang mungkin tidak begitu penting tetapi dari segi 
kecemasan dan keselamatan ia adalah suatu yang penting," tegasnya.
Yang Berhormat Pehin menekankan adalah 
amat mustahak bagi orang ramai mematuhi peraturan-peraturan yang 
berkuatkuasa sedikit masa lagi.
Dalam pada itu juga, anggota-anggota JBP
 adalah digesa supaya sentiasa meningkatkan kewaspadaan dan melengkapkan
 diri dalam pengetahuan dan kemahiran dalam menghadapi cabaran dan dalam
 menanganani keadaan yang konflik, tidak menentu dan sukar diramal pada 
masa ini akibat daripada perubahan cara hidup dan juga kemajuan.
- Pelita Brunei Online. Ahad, 11 April 2016.