Sabtu, 28 April 2018

Sertai Kuiz Bintang Pelajar

Bandar Seri Begawan - Sabtu, 28 April 2018 - Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat Brunei (KBPB) mendapat tempat kedua di dalam pertandingan Kuiz Bintang Pelajar Kali Ke 4 di antara Pasukan Beruniform di Dewan Raya, Radio Televisyen Brunei (RTB) setelah tewas kepada Pasukan Pengakap yang diwakili oleh Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI). Manakala tempat ketiga jatuh kepada Pasukan Bulan Sabit Merah.

Mewakili Pasukan KBPB ialah Iffah Safirah binti Haji Jasrin dan Nuradabiah Marsya Afiqah binti Ishak dari Sekolah Menengah PAP Hajah Masnah.


Pertandingan ini diungkayah bersama oleh RTB dan Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), kementerian Pendidikan. Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia, Awang Mohamed Jais bin Haji Abdul Rahman.

(Foto Kredit: Pegawai Kadet Bomba Muhammad Hilmey)


Ahad, 14 Januari 2018

Fire Marshal penting bagi masyarakat

Oleh : Nooratini Haji Abas 
Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 11 Januari. - Seramai 36 Kadet Bomba dan Penyelamat Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) termasuk tiga kakitangan KUPU SB dan dua pelajar kolej kediaman mengadakan Latihan Fire Marshal bertempat di kolej berkenaan, di sini. 

Antara lain Fire Marshal tersebut diadakan bertujuan untuk mengetahui dan memahami cara-cara mengatasi serta bertindak dalam situasi kebakaran juga apa jua kecemasan. 

Program Fire Marshal berlangsung selama tiga hari bermula 9 Januari lalu, diketuai oleh Penyelaras Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat KUPU SB, Dayangku Zainab binti Pengiran Haji Tuah. 

Menurut beliau, Fire Marshal tersebut sangat penting untuk masyarakat mengetahui teknik-teknik untuk menyelamatkan semasa kebakaran, selain mengenal pasti kelemahan alat-alat penggera yang terdapat di KUPU SB. 

Jelasnya, ia sangat berguna dan bermanfaat kepada masyarakat mengetahui bahagian Fire Marshal bagi mengurangkan kerosakan harta benda kerajaan juga harta kita sendiri.


- Pelita Brunei Online. Sabtu, 13 Januari 2018.