Isnin, 6 April 2015

Perkampungan Kokurikulum MIB himpunkan ahli-ahli pasukan beruniform senegara


  • Oleh:  Nur Faizzah Nawang / Foto : Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah
  • BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 23 Mac. -  Seramai kira-kira 500 ahli pasukan yang terdiri daripada Pasukan Kadet Tentera, Pasukan Kadet Polis Diraja Brunei, Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat, Pasukan Pengakap, Pasukan Bulan Sabit Merah dan Pasukan Pandu Puteri akan menyertai Perkampungan Kokurikulum Melayu Islam Beraja (MIB) Bagi Pasukan-Pasukan Beruniform Sekolah-Sekolah Menengah dan Maktab Senegara Kali Pertama pada musim cuti persekolahan penggal pertama tahun 2015.
    Perkampungan Kokurikulum MIB anjuran Majlis Tertinggi MIB dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Kokurikulum melalui Unit Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatan adalah dihasratkan untuk menanam asas nilai-nilai murni yang terkandung dalam konsep MIB kepada para belia.
    Demikian diumumkan pada sidang akhbar yang berlangsung di Bilik Muzakarah, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, hari ini.
    Hadir pada sidang tersebut ialah Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan, Dr. Awang Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong, selaku Setiausaha / Ketua Urus Setia Majlis Tertinggi MIB; Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Pengiran Suhaimi bin Pengiran Haji Bakar, selaku Pengerusi Bersama dan Ketua Unit Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatan, Awang Jalil bin Pengarah Haji Kapitan, selaku Setiausaha Bersama.

  • 230315 AMP1 SIDANGMEDIA
  • PENGARAH Pendidikan Kokurikulum, Pengiran Suhaimi bin Pengiran Haji Bakar bersama Ketua Setiausaha/Ketua Urusetia Majlis Melayu Islam Beraja (MIB), Dr. Awang Haji Muhammad Hadi bin Muhammad melayong selaku Pengerusi Bersama ketika mengadakan Sidang Media berkenaan Perkampungan MIB bagi Pasukan-pasukan Beruniform Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab Senegara Kali Pertama bertempat di Jabatan Pendidikan Kokurikulum Lambak Kanan.

Perisian aktiviti perkampungan itu akan menghubungkaitkan antara elemen pengukuhan kerohanian dan jasmani belia, pembinaan jati diri, kepimpinan dan motivasi serta pengukuhan ideologi belia kepada konsep MIB, dengan hasrat akan menjadi benteng dalam menerajui kehidupan mereka sebagai anak bangsa yang mencintai negara.
Pembukaan rasmi (soft launching) akan dirasmikan oleh Dr. Haji Muhammad Hadi, manakala penutupan rasmi akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Setia Awang Haji Yusoff bin Haji Ismail.
Salah satu aktiviti yang akan diadakan ialah Majlis Forum MIB yang akan dihadiri oleh tetamu kehormat majlis, Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Dayang Hajah Adina binti Othman. Sementara itu, Kuliah Subuh bersama Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned sempena Perkampungan MIB akan diadakan pada 29 Mac 2015 di Masjid Kampung Pulaie.
Perkampungan itu nanti juga akan diisikan dengan pelbagai aktiviti seperti solat berjemaah lima waktu, Kuliah Subuh / ceramah agama, membaca Tahlil dan Doa Arwah, pembacaan Al-Qur’an menggunakan Al-Qur’an Al-Karim dengan panduan waqaf dan ibtida’ berserta hukum tajwid, ceramah / bengkel, perlawanan merintis berpasukan dan sebagainya.
Adapun tujuan perkampungan tersebut ialah untuk mempelbagaikan lagi kaedah bagi pemahaman dan pengukuhan konsep MIB kepada belia, terutama sekali di peringkat sekolah dan untuk menerapkan nilai-nilai MIB dalam kehidupan dan jiwa pelajar khususnya kepada ahli-ahli pasukan beruniform serta menjadikan ahli pasukan beruniform sebagai ‘ejen’ bagi mempengaruhi pelajar lain dan rakan sebaya mereka ke arah memahami konsep MIB.
Di samping itu, ia untuk menghimpunkan ahli-ahli pasukan beruniform terdiri daripada pelajar-pelajar maktab, sekolah menengah serta pendidikan swasta dalam satu perkampungan dan selain itu, mempergiat usaha mengembangkan kefahaman konsep MIB, menanam bakat kepimpinan dan memupuk kemahiran berani aksi di depan orang ramai.
Perkampungan MIB Bagi Pasukan-Pasukan Beruniform Sekolah-Sekolah Menengah dan Maktab Senegara yang julung kalinya diadakan ini akan berjalan selama empat hari tiga malam bermula pada 27 hingga 30 Mac 2015, bertempat di Sekolah Sukan, Kampung Pulaie.
Turut hadir pada sidang akhbar, ialah pegawai-pegawai dari Unit Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatan, Jabatan Pendidikan Kokurikulum.
- Pelita Brunei Online