Jumaat, 21 Februari 2014

Bendera negara berkibar di perkarangan KUPU SB

Oleh: Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim


BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Februari. - Sebagai salah sebuah institusi perguruan agama yang unggul di Negara Brunei Darussalam, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) tidak ketinggalan untuk terus memantapkan semangat patriotik para graduan kolej berkenaan sempena menjelangnya sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan negara ini pada 23 Februari depan.

Bagi sama-sama membarigakan sambutan berkenaan, kolej tersebut pagi tadi turut mengadakan Upacara Menaikkan Bendera Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-30 di hadapan Bangunan Pentadbiran, KUPU SB, di sini.
 
RA'ES Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) , Dayang Hajah Masnon binti Haji Ibrahim
menyerahkan bendera negara untuk dinaikkan. (Foto : Azmah Hj. Ahad)

Hadir selaku tetamu kehormat dalam upacara ini ialah Ra'es KUPU SB, Dr. Hajah Masnon binti Haji Ibrahim.

Juga hadir ialah pegawai-pegawai kanan, pensyarah-pensyarah dan kakitangan kolej tersebut.

Lebih 600 menyertai upacara yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan dikelolakan oleh Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2013/2014.
 

BENDERA negara berkibar di perkarangan Bangunan Pentadbiran, Kolej Universiti Perguruan
Ugama Seri Begawan (KUPU SB). (Foto : Azmah Hj. Ahad)

Terdahulu, upacara dimulakan dengan perbarisan lalu lapan orang Pasukan Pengibar Bendera Negara Brunei Darussalam berserta dengan lapan pembawa bendera negara bagi mewakili pusat/fakulti/bahagian dan diikuti oleh Pasukan Kadet Bomba KUPU SB, Pasukan Bulan Sabit Merah, sukarelawan dan mahasiswa serta mahasiswi KUPU SB.

Upacara diteruskan dengan bacaan Asma'ul Husna dan Surah Al Faatihah yang dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keugamaan dan Ta'mir Surah, KUPU SB, Awangku Haji Muhammad Firdaus bin Pengiran Haji Rusman diikuti dengan upacara menaikkan bendera dan penyerahan bendera besar Negara Brunei Darussalam yang diiringi dengan Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan'.
 
PERBARISAN lalu Pasukan Pengibar Bendera NBD berserta dengan 8 pembawa Bendera Negara bagi mewakili
Pusat/Fakulti/Bahagian dan diikuti oleh Pasukan Kadet Bomba KUPU SB, Pasukan Bulan Sabit Merah,
sukarelawan dan mahasiswa serta mahasiswi KUPU SB. (Foto : Azmah Hj. Ahad)


Laungan takbir 'Allahuakbar' sebanyak tiga kali menyusul kemudian dilaungkan oleh Dekan Pelajar KUPU SB.
 
Aktiviti tersebut bertujuan untuk menyemarakkan Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Ke-30, di samping memohon keselamatan, kesejahteraan serta keberkatan dari Allah Subhanahu Wata'ala agar negara ini sentiasa aman damai, makmur dan sejahtera.
 
- Pelita Brunei Online. Selasa. 11 Febuari 2014.