Ahad, 22 September 2013

Sertai Istiadat Barisan Kehormatan

Bandar Seri Begawan. Ahad, 15 September 2013 - Bersempena dengan Hari Puja Usia Yang Keenam Puluh Tujuh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Istiadat Barisan Kehormatan telah diadakan pada Hari Ahad, 9 Zulkaedah, 1434 bersamaan 15 September, 2013. 

Sepertimana lazimnya, pasukan pertubuhan beruniform akan turut serta di dalam istiadat tersebut termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Kadet Bomba dan Penyelamat Negara Brunei Darussalam (KBPB) yang diletakkan di bawah Pasukan Pertubuhan Awam di bawah perintah Pegawai-Pegawai Pengawasnya iaitu 374 Mejar Fadzly bin Mohd. Ya'akub, psc. dan 591 Mejar Awang Rosli bin Bujang, BA (Hons), MSC.

Manakala Ketua Perbarisan bagi pasukan KBPB ialah PFCO Hairol Faizal bin Haji Gapar dan Penolong Ketua Perbarisan KBPB ialah Kadet Bomba Mohamad Arif bin Mohd Ali (KUPU SB). Manakala Pelapis Ketua/Penolong Ketua Perbarisan KBPB ialah PFCO Norimy bin Haji Ahad. Seramai 30 ahli KBPB terdiri dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Sekolah Menengah Rimba, Sekolah Menengah Rimba II, Sekolah Menengah Sayyidina Hasan dan Sekolah Menengah Sayyidina Husain serta 2 orang ahli simpanan.

 Menadahkan tangan memohon doa agar istiadat berjalan dengan lancar (Pic: PL JBP)

Istiadat dimulakan pada kira-kira jam 7:15 pagi dengan perbarisan masuk pasukan-pasukan yang mengambil bahagian. Seterusnya diikuti dengan Perarakan Masuk Panji-Panji Batalion Pertama Tentera Darat Diraja Brunei (1BN TDDB), Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) dan Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB).

Sedia menunggu Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (Pic: Azmah_06@Infofoto)


Istiadat diteruskan dengan keberangkatan kerabat-kerabat diraja dan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang diikuti dengan Hormat Diraja dan tembakan 21 das meriam. Baginda seterusnya dijunjung bagi memeriksa barisan kawalan kehormatan dan pertubuhan beruniform.

Seterusnya ialah perbarisan lalu dalam perlahan dan cepat jalan oleh pasukan barisan kawalan kehormatan. Setelah selesai, kesemua pasukan melaungkan "Daulat" sebanyak 3 kali ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Istiadat diakhiri dengan Hormat Diraja dan serentak dengan penerbangan lalu oleh pesawat-pesawat TUDB.


 Terbang Lalu pesawat-pesawat TUDB

Bergambar ramai bersama Urusetia KBPB di PL JBP setelah istiadat selesai (Pic: PL JBP)


Urusetia KBPB di Pusat Latihan Jabatan Bomba dan Penyelamat memberikan penerangan mengenai persiapan Majlis Persantapan yang akan diadakan pada malam 17 September 2013 di Istana Nurul Iman.


Sertai Latihan Perbarisan Kehormatan


Bandar Seri Begawan - Khamis, 12 September 2013. Bersempena dengan Hari Puja Usia Yang Keenam Puluh Tujuh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Istiadat Barisan Kehormatan akan diadakan pada Hari Ahad, 9 Zulkaedah, 1434 bersamaan 15 September, 2013. Sepertimana lazimnya, pasukan pertubuhan beruniform akan turut serta di dalam istiadat tersebut termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Kadet Bomba dan Penyelamat Negara Brunei Darussalam (KBPB). 

35 orang ahli Kadet Bomba dan Penyelamat yang terlibat di dalam istiadat ini terdiri dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Sekolah Menengah Rimba, Sekolah Menengah Rimba II, Sekolah Menengah Sayyidina Hasan dan Sekolah Menengah Sayyidina Husain.

Bagi melancarkan lagi beberapa siri taklimat dan latihan pendedahan awal telah diadakan di Pusat Latihan Bomba dan Penyelamat, Lambak Kanan. Mulai 9 September 2013, latihan mula dijalankan di tempat sebenar iaitu di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien di Bandar Seri Begawan. Untuk memantapkan lagi, terdapat latihan yang diadakan sebanyak 2 kali dalam sehari.

Pasukan KBPB memasuki Taman dalam satu sesi latihan (Pic: PFCO Hilmey)


 Pasukan KBPB berkawad meninggalkan tempat perkumpulan awal dalam latihan kali kedua (Pic: PFCO Hilmey)